
Dalam kehidupan seharian, pasti kita berhadapan dengan perkara-perkara yang membangkitkan kemarahan. Kita juga sering menghubung-kaitkan marah ini sebagai satu perkara yang negatif.
Ternyata Islam juga mencela sikap marah sebagaimana firman Allah: (Ingatlah dan
kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu
menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap
kebenaran Islam) – perasaan sombong angkuh secara Jahiliah (yang menyebabkan
kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram
kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah
perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada kalimah takwa, sedang
mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan kalimah
takwa itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu. (al-Fath: 26)
Lihatlah bagaimana Allah s.w.t. mencela keangkuhan golongan kafirun terhadap
golongan yang beriman yang mana ia timbul akibat kemarahan mereka terhadap
ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yang telah menyerang institusi
keagamaan, masyarakat dan sosial mereka.
jenis-jenis manusia berkaitan dengan sifat marah :
* Golongan Pertama: Tafrith
Iaitu mereka yang langsung tidak memiliki sifat marah. Apa jua yang berlaku disekelilingnya maka dia langsung tidak menunjukkan perasaan marah. Manusia jenis ini sama sekali tidak memiliki sikap pembelaan terhadap kebenaran. Dia tidak terasa tersinggung apabila agamanya diinjak-injak oleh musuh-musuh Islam. Sedangkan Rasulullah s.a.w. yang terkenal dengan sikap tawaduk tetap mempertahankan maruah agama dengan menentang musuh-musuhnya sekiranya perlu.
Firman Allah: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). (al-Fath: 29)
Golongan jenis ini juga apabila terjadi perlanggaran terhadap kehormatan diri mahupun ahli keluarganya maka dia akan menghadapinya dengan sikap yang penuh kebaculan dan terlalu merendah diri. Sedangkan Islam melihat perlunya sikap cemburu demi untuk melindungi kehormatan ahli keluarganya.
Jelas di sini sifat tafrith atau langsung kehilangan sifat marah adalah tercela di sisi syarak.
* Golongan kedua: Ifrath
Iaitu mereka yang tidak dapat mengawal perasaan marah lalu bersikap berlebih-lebihan sehingga hilang pengawalan akal yang waras terhadap dirinya.
Golongan seperti ini akan berteriak dengan suara yang kuat serta mengeluarkan kata-kata kasar lagi kesat. Ada kalanya sehingga menyebabkan terjadinya pukul-memukul ataupun amukan yang dahsyat sehingga terjadi pertumpahan darah.
Marah yang tidak dapat dikawal juga dapat membentuk perasaan dendam, benci dan dengki sehingga mendorongnya untuk melakukan pembalasan terhadap orang yang dimarahinya.
Disebabkan buruknya akibat sifat marah yang melulu ini maka Rasulullah s.a.w. amat menitikberatkan agar perasaan itu dikawal dengan baik. Apabila seorang sahabat meminta nasihat daripada Baginda s.a.w, lantas Baginda bersabda: Jangan marah. Kemudian sahabat tersebut mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi baginda menjawab: Jangan marah. (Sahih al-Bukhari, hadis no: 6116).
Allah juga memuji mereka yang dapat mengawal perasaan marah melalui firman-Nya dalam surah Ali-Imran: 133-134)
Di antara cara mengawal perasaan marah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. adalah :
1. Mengucapkan Taawudz (A'udzu billahi minasy syaithoonir rajeem – Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk). Ini adalah kerana perasaan marah itu timbul dari hasutan syaitan.
2. Diam atau tidak berbicara.
3. Jika semasa timbul perasaan marah itu seseorang itu sedang berdiri maka hendaklah dia duduk. Jika tidak reda juga maka hendaklah dia baring.
4. Berwuduk kerana air wuduk itu dapat menenangkan jiwa yang sedang marah
* Golongan ketiga:
Iaitu golongan yang bersikap sederhana di antara tafrith dan ifrath. Mereka tidak menghilangkan sikap marah secara total tetapi hanya akan marah dalam situasi yang bersesuaian. Akal juga masih menguasai dirinya dan mereka sentiasa mengikuti batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.
Apakah yang dapat kita simpulkan tentang sifat marah ini? Sekiranya sifat marah itu hilang sama sekali dalam jiwa seseorang maka ia termasuk dalam perbuatan yang tercela dan menunjukkan ciri-ciri seorang insan yang lemah pegangan agamanya, penakut, lemah imannya dan kurang cintanya terhadap agama Allah.
Begitu juga sifat marah yang berlebih-lebihan tanpa batasan ia juga mengundang bahaya serta boleh menimbulkan suasana yang kacau-bilau. Oleh itu, sekalipun sifat marah itu perlu ada pada diri seseorang tetapi ia sentiasa diarahkan kepada perkara yang kena pada tempatnya. Dikawal oleh akal yang bijaksana dan batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.
Inilah sikap pertengahan yang adil lagi terpuji malah ia merupakan ciri-ciri umat Nabi Muhammad s.a.w. iaitu umat yang bersikap penuh kesederhanaan dalam semua perkara. Firman Allah: Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil (pertengahan), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (al-Baqarah: 143)

No comments:
Post a Comment